Pages

Sunday, November 30, 2014

Lawatan Ke Jabatan Penjara Jerudong Brunei Darussalam


Pada 17hb November 2014 yang lalu, Ahli-Ahli Jawatankuasa Pemimpin Sekolah-Sekolah Swasta (AJKUSS) telah mengadakan satu sesi lawatan ke salah sebuah penjara yang terdapat di Negara Brunei Darussalam iaitu Penjara Jerudong. 

Lawatan tersebut merupakan salah satu aktiviti yang dirancang oleh AJKUSS bagi meluaskan pengetahuan dan membuka mata ahli-ahli jawatankuasa (AJK) mengenai beberapa bentuk hukuman yang terdapat di negara ini bagi kesalahan jenayah dan sivil.

Ketibaan  AJK di penjara tersebut disambut dengan ramah oleh pegawai-pegawai dari Jabatan Penjara. Para pegawai berkenaan membawa AJK memasuki sebuah dewan, dan di sana AJK telah diberikan satu taklimat berkenaan dengan organisasi, fungsi, matlamat, bentuk hukuman dan beberapa perkara yang berkaitan dengan bidang tugas Jabatan Penjara.


Setelah sesi taklimat berakhir, AJK dipelawa untuk menikmati jamuan ringan dan kemudiannya dibawa untuk melawat galeri pameran yang terletak bersebelahan dengan dewan di mana sesi taklimat diadakan. 


Di galeri berkenaan, AJK dapat menyaksikan sendiri replika bilik penjara yang terdapat di Penjara Jerudong dan replika bilik tempat perlaksaan hukuman gantung bagi pesalah-pesalah yang menerima hukuman gantung sampai mati. Selain itu, AJK juga dapat melihat baju seragam dan peralatan yang digunakan oleh pegawai-pegawai penjara dari sejak Jabatan Penjara mula ditubuhkan sehinggalah sekarang, beberapa benda terlarang dan merbahaya yang dirampas daripada banduan di dalam penjara, serta bermacam-macam lagi pameran menarik yang terdapat di galeri berkenaan.



Setelah melawat galeri pameran, beberapa orang pegawai penjara kemudiannya memberikan tunjuk cara bagaimana perlaksanaan hukuman sebat dilakukan bagi kesalahan jenayah dan sivil. AJK juga sangat beruntung kerana diberi peluang melakukan sendiri demonstrasi sebatan dengan menggunakan patung-patung replika.

Sebelum mengakhiri lawatan, AJK mengambil kesempatan untuk bergambar kenangan dengan pegawai-pegawai penjara yang melayan AJK dengan baik serta tidak jemu-jemu memberikan penerangan dan menjawab berbagai pertanyaan sepanjang sesi lawatan diadakan.



No comments:

Post a Comment